Isnin, 26 Disember 2011

Haram Lelaki Islam Berjual Beli Sebaik Azan Jumaat



Dalam Kuliah Feqah yang disampaikan oleh Y.Bhg Tn Hj Arshad (Bekas Ketua Hakim Mahkamah Syariah N.Sembilan) di Surau Alamanda pada Jumaat 6 Mei 2005 yang lalu, seorang jemaah telah bertanya pada beliau mengenai hukum mereka yang berniaga di kawasan masjid pada hari Jumaat.

Tn Hj Arshad menjelaskan adalah Haram lelaki Islam berjual atau membeli barangan sebaik sahaja azan pertama Jumaat dilaungkan bukan sahaja di perkarangan masjid malah dimana-mana jua hatta di pasaraya, restoran dan sebagainya. Walaupun mereka yang berjual beli ini tidak mendengar azan tetapi ianya tetap haram kerana kita sudah ada segala kemudahan sekarang dengan jam, radio, takwim dan sebagainya untuk menentukan bila masuk waktu.

Lelaki Islam yang menjual haram dan lelaki Islam yang membelinya juga haram. Tetapi tidak haram jika yang menjualnya wanita Islam dan membelinya wanita Islam. Tidak haram jika yang menjualnya wanita Islam tetapi haram jika membelinya lelaki Islam.

Ini adalah berdasarkan Firman Allah s.w.t.:
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk kamu menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan meninggalkan jual beli. Yang demikian itulah lebih baikbagimu jika kamu mengetahui".
Surah Al-Jumu'ah, ayat 9

Tiada ulasan:

Catat Ulasan